Latar Belakang Tribunal

1. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah satu badan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999.

Bahagian XII Akta mengandungi 38 Seksyen yang menyentuh tentang berbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan Tribunal, bidangkuasa Tribunal, prosiding Tribunal, award-award Tribunal dan sebagainya.

Objektif Tribunal

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia adalah merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Sebelum penubuhan Tribunal ini, segala tuntutan gantirugi oleh seorang pengguna terhadap seorang pembekal atau pengilang terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil di mana ia melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Ini adalah antara sebab-sebab mengapa pengguna tidak berminat untuk membuat tuntutan di Mahkamah terhadap pembekal atau pengilang yang tidak bertanggungjawab terutamanya jika sekiranya amaun yang dituntut adalah kecil, walaupun pada masa ini sudah adanya Mahkamah Tuntutan Kecil di setiap negeri untuk mendengar tuntutan-tuntutan yang tidak melebihi RM5,000.00.

Memahami hakikat ini, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia telah ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.

KEANGGOTAAN Tribunal

Seksyen 86 Akta memperuntukkan bahawa Tribunal hendaklah dianggotai oleh seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi (terdiri daripada pegawai-pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan) dan tidak kurang daripada 5 orang anggota Tribunal yang lain dilantik oleh Menteri

BIDANG KUASA Tribunal

- Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar :-

a) apa-apa tuntutan mengenai apa-apa perkara yang ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar seperti diperuntukkan di bawah Akta; b) di mana jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.00; c) apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta. - Bidang kuasa Tribunal hendaklah dilaksanakan oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan mana-mana anggota yang dipilih oleh Pengerusi yang akan bersidang sendirian.

BATASAN KUASA TRIBUNAL

a) yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian; b) bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah; c) yang mempersoalkan hakmilik-hakmilik tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah, atau apa-apa francais; dan d) yang mengandungi pertikaian mengenai - i. hak di bawah satu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tak berwasiat; ii. nama baik (good will) iii. apa-apa hak dalam tindakan; iv. rahsia perdagangan atau harta intelek lain. e) apabila mana-mana tribunal telah ditubuhkan melalui mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan-tuntutan tentang perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu. Bidang kuasa Tribunal hendaklah terhad kepada suatu tuntutan yang berasaskan pada suatu kuasa tindakan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.